Wednesday, November 10, 2010

renungkan dan selamat beramal....

Suami tidak pandai melayan isteri?
Inilah antara keluhan isteri mengenai sikap suami mereka. Jangan kata semua suami romantik kerana ada suami yang memang tidak romantik.
Tetapi layanan dan perhatian itulah yang didambakan isteri, sekurang-kurangnya isteri tahu dia dihargai dan dikasihi.
Ramai juga isteri mengeluh, suaminya tidak sama dengan ketika sedang bercinta dahulu. Bagi kebanyakan suami pula, zaman berkahwin dan bercinta adalah suatu keadaan yang sangat berlainan. Zaman bercinta, ketika dalam proses berkenal-kenalan, segala-galanya ditatang bagai minyak yang penuh. Tetapi selepas berumah tangga dan hidup bersama, ia telah menjadi rutin yang biasa sahaja.
Kerana itulah ada isteri mengadu, suaminya tidak lagi mesra berbanding zaman bercinta. Suami balik ke rumah, hanya mendiamkan diri, sibuk membaca akhbar, menonton televisyen, dan seperti tidak mahu bercakap dengan isteri.
Kemesraan berputik dengan cara berkomunikasi. Ada dua jenis lambang komunikasi yang biasa digunakan, iaitu lambang lisan dan bukan lisan.
Bermesra-mesraan adalah usaha suami isteri untuk menunjukkan rasa saling kasih sayang dalam bentuk lisan. Sentuhan tangan dan gerak tubuh lainnya, adalah termasuk lambang bukan lisan ketika suami berkomunikasi dengan isterinya. Komuniaksi lisan semata-mata belumlah berkesan jika belum disertai oleh komunikasi bukan lisan.
Rasulullah sendiri menunjukkan kepada kita betapa pentingnya kemesraan antara suami dengan isteri. Bahasa cinta Rasulullah kepada isterinya banyak digambarkan dalam bentuk bukan lisan di mana baginda mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

1. Tidur dalam satu selimut bersama isteri
Ini tercermin dalam hadis berikut;
Daripada Atha’ bin Yasar, katanya sesungguhnya Rasulullah dan Aisyah biasa mandi bersama-sama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, mengapa engkau bangkit? Jawabnya, “Kerana saya haid, wahai Rasulullah”. Sabda Rasulullah, “kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali kepadaku”. Aisyah pun masuk, lalu berselimut bersama baginda. [Hadis riwayat Sa'id bin Manshur]
2. Memakai wangi-wangian
Aisyah berkata, “Sesungguhnya Rasulullah apabila meminyakkan badannya, memulakan dari auratnya dan menyapunya dengan nurah (sejenis bubuk pewangi) dan isterinya meminyakkan bahagian lain seluruh tubuhnya”. [Hadis riwayat Ibnu Majah]
3. Mandi bersama isteri
Daripada Aisyah, beliau berkata, “Aku biasa mandi bersama dengan Nabi dalam satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana)”. [Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah]
4. Menyikat rambut suami
Daripada Aisyah, beliau berkata, “Saya biasa menykatkan rambut Rasulullah. Saat itu saya sedang haid”. [Hadis riwayat Ahmad]
5. Meminta isteri meminyakkan badannya
Daripada Aisyah, beliau berkata, “Saya meminyakkan badan Rasulullah pada Aidiladha selepas baginda melakukan jumrah aqabah”. [Hadis riwayat Ibnu 'Asakir]
6. Minum bergantian pada tempat yang sama
Daripada Aisyah, beliau berkata, “Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya. Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya”. [Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur]
7. Membelai isteri
Dalam hadis diceritakan, “Adalah Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri kami dengan tidak mencampuri hingga beliau singgah ke tempat isteri yang beliau giliri waktunya, lalu baginda bermalam di tempatnya”. [Hadis riwayat Ahmad]
8. Tidur di pangkuan isteri
Daripada Aisyah, beliau berkata, “Nabi biasa meletakkan kepalanya pada pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca al-Quran”. [Hadis riwayat 'Abdurrazaq]
9. Memanggil dengan kata-kata mesra
Rasulullah biasa memanggil Aisyah dengna beberapa nama panggilan yang disukainya seperti ‘Aisy dan Humaira (si pipi merah delima).
10. Mendinginkan kemarahan isteri dengan mesra
Rasulullah biasa memicit hidung Aisyah jika beliau marah dan berkata, “Wahai “Uwaisy, bacalah doa: Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku, dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan”. [Hadis riwayat Ibnu Sunni]
11. Memberikan hadiah
Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, beliau berkata, ketika Nabi bernikah dengan Ummu Salamah, baginda bersabda kepadanya, “Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi meninggal duina dan aku mengira hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu”. Beliau (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah dan hadiah itu dikembalikan kepada baginda, lalu baginda memberikan kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian itu beliau berikan kepada Ummu Salamah”. [Hadis riwayat Ahmad]

p/s; untuk pedoman suami isteri dan bakal suami isteri...

No comments:

Post a Comment